Macobrachium Rosenbergji ialah nama saintifik bagi udang galah yang merupakan sejenis udang air tawar.
15 Feb 2011
Kami bertiga diketuai oleh Mohamad Sulong atau lebih dikenali sebagai Mamat serta disusuli oleh saya dan seorang lagi rakan iaitu Cidi. Kami telah mengadakan aktiviti mamancing udang galah di Sungai Belat dan Sungai Soi. Kedua-dua sungai ini amat popular bagi kaki-kaki pancing dan merupakan lubuk bagi udang galah.
Perkara Utama
Perkara sekali kami berbincang dengan rakan mengenai tarikh, masa dan lubuk yang akan dituju untuk aktiviti memancing udang. Persediaan awal amat penting kerana ianya akan memudahkan lagi aktiviti ini. Antaranya persediaan yang dilakukan adalah enjin sangkut 4-15 kuda, pendayung, sauh, tali, membuat perambut awal, peralatan memancing yang dikira lengkap dan tidak lupa iaitu umpan seperti cacing tanah, isi ikan serta anak udang.
Kami semua bertolak jam 6:30 pagi dan sampai dipangkalan kira-kira jam 7:00 pagi. Kami bertolak secara berasingan. Setelah tiba, kami bersiap sedia dengan peralatan kami untuk turun ke sungai. Sebelum itu, Mamat dengan Cidi mengambil enjin yang kami telah tempah beberapa hari sebelum kami mulakan aktiviti ini. Sampan atau faber perlu diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan ianya dalam keadaan yang baik dan selamat untuk digunakan. Dalam melakukan aktiviti ini, sememanglah seronok tetapi disamping itu juga perkara yang penting sekali keselamatan perlu dititikberatkan.
Peralatan
Joran dan kekili untuk memancing udang biarlah jenis ringan. Joran halus sebaiknya dalam 41/2 kaki panjang dan kekili tidaklah perlu besar. Tali utama iaitu tali di joran seeloknya antara 10-15 paun manakala perambut pula 6-8 paun. Saiz batu ladung juga kebiasaanya antara no 5-6. Saiz batu ladung yang kecil boleh digunakan ketika arus sungai bergerak perlahan. Beberapa jenama mata kail kecil boleh digunakan biasanya diantara 7-10 yang menjadi pilihan utama.
Setelah semua persediaan telah siap, kami pun bergerak menuju ke lubuk yang kami rancang. Semasa dalam perjalanan menuju ke tempat yang dituju, kami bersiap dengan membetulkan joran, perambut dan mata kail supaya ia dalam keadaan baik dan ianya memudahkan kami untuk melancarkan lagi aktiviti ini setelah sampai ke tempat yang kami tuju.
Cara Memancing
Memancing di atas sampan atau faber, paling sesuai dan selesa ialah 2-3 orang untuk sebuah faber sepanjang 12-16 kaki. Manakala jorang pula bertepatan lima batang joran untuk seorang dan tidak menghairankan ada yang menggunakan lebih dari itu jika ia mampu mengawal kesemuanya. Susunan joran diatas faber semasa memancing juga penting mengikut aturan yang betul seperti joran pertama dilontar jauh, diikuti joran kedua dekat sedikit dan begitu seterusnya hingga joran terakhir dihulur saja bawah faber. Cara ini boleh mengelakkan dari berbelit sesama sendiri. Melontar umpan sehingga batu ladung menjejaki dasar sungai, kemudian mengarau tali ibu dikekili sehingga tegang. Jika sudah pasti umpan mengena lakukan sentapan yang lembut atau terus mengarau tali dan disinilah debaran terasa dengan henjutan udang samaada berjaya atau sebaliknya untuk didaratkan.
(Mengisi umpan di mata kail)
Dalam 10-15 minit, kami pun sampai ke lubuk yang pertama, dengan tidak membuang masa kami pun terus mulakan memancing dengan mengisi umpan di mata kail serta melontarkan ke tempat yang dirasa ada udang disitu. Udang sebenarnya tidak memilih umpan atau makanan, tetapi pemancing mestilah juga memikirkan ketahanan umpan dimata kail, antaranya cacing, perumpun, udang kecil dan isi ikan. Namun pilihan utama tetap cacing tanah kerana ianya berkaitan rapat dengan bentuk badannya di mata kail dan kesesuaian sesuatu lubuk udang tersebut. Di lubuk yang pertama ini, hanya Mamat saja yang berjaya mendaratkan udang dan saiznya agak besar. Saya dan Cidi hanya berjaya menaikan anak ikan sahaja. Setelah itu kami pun bergerak menuju ke lubuk yang ke dua.
(Hasil tangkapan Mamat yang pertama)
Mencari Kawasan Lubuk Udang
Mencari lubuk bukanlah perkara yang senang, ianya terpulang kepada gerak hati dan kepandaian seseorang pemancing. Perkara yang penting dalam mencari lubuk adalah pertama, perhatikan kawasan yang mempunyai banyak makanan bagi udang seperti lumut pada kayu serta kawasan yang senang udang bersembunyi seperti ranting pokok atau kawasan yang berbatu. Kemudian kawasan berteluk berarus sederhana laju, kawasan yang mudah tersangkut yang terdapat banyak ranting-ranting pokok serta akar-akar pokok di dalam air dan yang pastinya memandangkan jadual air berubah setiap hari, kedudukan udang juga begitu, adakalanya udang galah suka bermain di tengah sungai terutama bila air bergerak sederhana laju.
(Tunggu sambil berehat sekejap)
Setelah sampai ke lubuk kedua, kami pun melabuhkan joran-joran kami mengikut keadaan yang dirasaikan ada udang yang bermain di kawasan tersebut. Dan masa itulah joran-joran kami pun mengena serta berjaya menaikan beberapa udang. Selama 2 jam lebih kami berada di lubuk tersebut, kami merasa seronok apabila umpan kami mengena. Tetapi bukan itu sahaja, pertarungan mendaratkan udang yang menjadikan sesuatu pengalaman yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh setiap kaki pancing.
(Hasil tangkapan Mus Takim)
(Cidi dengan udangnya)
(Hasil pertarungan Mamat)
Panduan Memancing Udang
Ketika memancing udang, sikap malas jangan diamalkan. Umpan perlu selalu diperiksa di mata kail. Caranya selepas 3-5 minit umpan dilabuhkan dan tiada sebarang isyarat, perlulah kita mengangkat joran untuk memastikan samaada ia tersangkut ataupun sudah memperoleh udang. Jika selepas 15 minit masih tiada isyarat udang, ini bermakna kawasan tersebut tidak sesuai untuk pancingan udang dan perlu beredar ke tempat lain. Gangguan seperti anak ikan dan sebagainya adalah cabaran dalam menahan kesabaran. Pengguan sauh diperlukan jika ingin memancing ditengah sungai dan jika sungai kecil tali boleh direntang di dalam usaha mencari lubuk udang.
Hampir satu hari kami memancing dan hasilnya agak lumayan serta umpan pun hampir habis. Kami pun merancang untuk bersiap untuk pulang ke pangkalan. Persiapan untuk pulang pun agak penting kerana perlu memastikan semua peralatan memancing cukup dan tidak hilang atau terjatuh dalam sungai serta ini boleh merugikan si pemancing. Tali sauh juga perlu dikemas dan ikat dengan baik kerana ia masih boleh digunakan lagi. Setelah semua peralatan cukup dan berkeadaan baik, kami pun bertolak menuju ke pangkalan. Tibanya di sana, penyewa faber menyambut kepulangan kami dengan membantu kami mengangkat barang-barang dan peralatan kami. Setelah itu, kami pun pulang.
(Kesemua hasil tangkapan Mus Takim)
Peringatan Semasa Memancing
- Memulakan dengan Bismilah dan di sudahi dengan Alhamdullah
- Pertuturan harus dijaga
- Elakan membuang makanan seperti sisa-sisa makanan (benda yang boleh mencemarkan sungai)
- Sering memberi kerjasama sesama rakan-rakan
- Mata dan telinga sentiasa berwaspada kerana kebiasaan lubuk udang di kongsi bersama sang bedal.
0 ulasan:
Catat Ulasan