Pages

Isnin, 7 Februari 2011

Barat Dengan Kaedah Saintifik

Sejak kekalahan di dalam Perang Salib, orang-orang Barat mula melancarkan serangan-serangan pemikiran terhadap Islam. Serangan ini dilancarkan dengan agak kencang setelah Eropah melalui zaman pencerahan (Rennaisance). Barat mula meyerang aqidah umat islam dengan menimbulkan segala isu yang boleh menimbulkan keraguan pada kaum Muslimin. Mereka menyerang Islam dengan menyatakan Islam itu berkembang dengan mata pedang. Mereka juga menyatakan jihad adalah satu perbuatan yang kejam, ganas, brutal dan sebagainya. Barat menyerang poligami dengan mengatakan tindakan ini adalah satu bentuk penghinaan ke atas wanita dan bertentangan dengan hak asasi manusia. Mereka juga menyerang kaum Muslimin yang kuat berpegang pada Islam dengan menyatakan bahawa golongan ini adalah fundamentalis dan ekstrem. Siapa sahaja yang berpegang kepada agama dianggap fanatik dan golongan berbahaya. Barat juga menyerang Sistem Khilafah dengan menyatakan bahawa ini adalah suatu kezaliman kerana kuasa hanya dipegang oleh seorang pemimpin. Maka Khalifah digambarkan sebagai seburuk-buruk peminpin yang diktator, gila kuasa, kaki perempuan dan bermacam-macam lagi.


Serangan-serangan sebegini menyebabkan umat islam merasa mereka perlu 'membela diri'. Perasaan inilah yang telah menyebabkan umat Islam terperangkap di dalam jerat Barat. Oleh itu, mereka mula menjawab segala tuduhan, seolah-olah mereka di pihak yang salah dengan agama yang salah. Umat Islam lalu menyatakan bahawa golongan yang suka berperang dan peperangan bukanlah suatu tuntutan agama. Mereka menjawab bahawa 'Jihad itu adalah tindakan mempertahankan diri, poligami itu hanya dibenarkan jika memenuhi syarat-syarat yang ketat, otoriti pemerintahan Islam bukanlah dari Khalifah, tetapi Islam mengambil pendapat majoriti (Demokrasi) di dalam sistem pemerintahan.' Pelbagai lagi jawapan yang diberikan yang timbul dari perasaan bersalah. Inilah sebahagian daripada bentuk jawapan-jawapan yang dikatakan bersifat apologetik (membela diri kerana bersalah).

Sebenarnya inilah method yang digunakan oleh cendekiawan Barat semasa mereka menyerang dogma-dogma gereja di dalam perjuangan mereka untuk memisahkan agama atau gereja dari kehidupan. Apologetic merujuk kepada sikap dan cara para paderi Kristian berhujah ketika berhadapan dengan golongan intelektual mereka yang terdiri daripada ahli-ahli falsafah rasionalis menjelang zaman kebangkitan Eropah (Zaman Renaissance). Mereka betul-betul menyerang gereja dengan meletakkan segala kesalahan, kelemahan dan kemunduran sebagai berpunca dari gereja. Gereja waktu itu amat sceptical (mempersoalkan/curiga) terhadap sains, ditambah dengan sikap paderi yang tidak faham dan memusuhi sains, lalu masyarakat mula mempertikaikan ajaran gereja. Dengan kemunculan sekumpulan cerdik pandai dan buku-buku saintifik yang mereka temui pada waktu itu serta serangan pemikiran yang berterusan keatas pihak gereja, lalu mereka berjaya meruntuhkan institusi gereja sebagai sebuah pemerintahan.



0 ulasan:

Catat Ulasan