Pages

Khamis, 27 Januari 2011

Muslim

Seorang muslim dapat dikenali melalui tingkahlaku, perbuatan serta tutur kata. Melalui ucapan dan perbuatan seseorang, kita dapat menduga jiwanya. Meskipun tidak semua tepat, tetapi mungkin menghampiri kebenaran.

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka; kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat, lalu besarlah ia dan tegak lurus di atas pokoknya, tanaman itu menyenangkan hati penanamanya, kerana Allah hendak membuat hati orang kafir menjadi marah. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal solih di antara mereka keampuanan dan pahala yang besar."(Surah al-Fath, ayat 29) 

Identiti seorang muslim seperti yang disebutkan dalam ayat di atas tadi ialah selalu mencari keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. Disamping itu juga, memiliki sifat kasih sayang dan ramah tamah terhadap sesama muslim, tetapi tegas terhadap orang-orang kafir.


Sikap seseorang yang ingin mencari keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. Mereka ini selalu tunduk dan patuh terhadap perintah-Nya dan berusaha untuk berbuat kebajikan dengan memperbanyakkan amal solih dan mencuba sedaya upaya dalam tidak melakukan kesalahan. Dengan kata yang mudah difahami iaitu perbanyakkan ibadah dan menghindari maksiat.

Perbezaan yang paling ketara antara muslim dan kafir ialah keimanan dan mengerjakan solat lima waktu. Jika kita seorang muslim dengan sendirinya kewajipan solat lima waktu ini perlu kita lakukan. Ini merupakan satu imej yang menunjukan bahawa kita mempunyai identiti tersendiri. Dan jika tidak dilakukan maka kita bukanlah seorang muslim yang mukmin.


Kalau seseorang sampai kehilangan identiti dirinya baik dalam hal akhlak, mahupun hubungan dengan Allah dan sesama manusia, maka sulitlah bagi orang lain untuk menentukan hal ehwal kehidupan dalam masyarakat. sementara di akhirat kelak mereka termasuk orang-orang yang rugi dan menyesal.

Khamis, 6 Januari 2011

Perancangan Musuh

"Tidak ada ertinya menerangi umat islam dan kita tidak akan mampu untuk menguasai mereka selagi di dada pemuda-pemuda islam masih terdapat Al-Quran. Tugas kita adalah mencabut Al-Quran dari dalam hati mereka. Dengan demikian kita akan menang dan berjaya menguasai mereka"

Demikianlah ucapan salah seorang pemimpin eropah dalam sidang parlimen sambil memegang satu naskah Al-Quran. Sifat benci sedemikian adalah merupakan lanjutan pertarungan atau konflik antara kebenaran dan kebatilan yang berlaku di sepanjang sejarah islam.

Perkara ini dipetik dari sebuah laman sesewang di internat, dan mungkin rakan-rakan semua telah terbaca maklumat ini dan telah memahami segala mesej-mesej yang telah mereka sampaikan. Di sini saya ingin berkongsi sedikit mengenai perkara tersebut. Segala maklumat ini saya perolehi dari buku-buku serta bahan-bahan rujukan di internat.

Realiti sekarang, keadaan pemuda-pemuda islam banyak yang menyia-nyiakan masa dan menghamburkan usia mereka kepada perkara-perkara yang menjauhkan mereka dari Al-Quran dan ajaran Al-Quran. Ini sungguh menyedihkan apabila wujudnya keadaan sedemikian rupa.

Sebenarnya banyak faktor yang menyebabkan pemuda sekarang tidak mengambil berat terhadap Al-Quran, baik dalam faktor dalaman dan luaran. Dan di antara yang dua ini saling pengaruh mempengaruhi. Kelemahan keadaan dalaman menyebabkan faktor luaran akan mudah "menangguk di air keruh".

Faktor paling mudah dan berkesan dalam melalaikan mereka sehingga masa mereka habis kepada perkara yang sia-sia dan bergelumang dalam keruntuhan agama dan akhlak ialah pelbagai media elektronik, media cetak dan pelbagai alat dan jenis permainan. Disini saya tidak akan memberi contoh yang tepat kerana bimbang kenyataan yang diberi akan menimbulkan salah faham, biarlah rakan-rakan sekian memikirkan dan dapat membayangkan apa yang saya maksudkan.

Dalam hal-hal ini, sangatlah rasa kecewa apabila banyak berlakunya perkara-perkara yang sia-sia di zaman kita sekarang malah ianya sudahpun semakin bermaharajalela, sebagai contoh banyak perkataan-perkataan  dan budaya serta amalan manusia yang sudah berubah yang mungkin berpunca daripada terpengaruhi dengan budaya-budaya barat, menonton dan melakukan benda-benda yang boleh merosakkan akhlak dan minda-minda remaja atau pemuda sekarang. Di samping itu juga, wujudnya hiburan yang melampau batas dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berguna dan merosakkan imej dan keperibadian seseorang umat islam.

Dengan itu marilah kita menyedari bahawa musuh islam tidak akan berhenti menyerang umat islam selagi mereka tidak berjaya menghapuskan umat islam di dunia lebih-lebih lagi pemuda-pemuda islam. Sekarang mereka merancang untuk merosakkan hati dan pemikiran pemuda sekarang supaya mereka ini lalai serta menjauhkan diri dengan Al-Quran dan ajaran agama islam itu sendiri.

Bersama-samalah kita, memanfaatkan masa yang ada ini dengan melakukan amal ibadat, solat, solat sunat, berqiyamullai dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang menghasilkan kebaikan dan keredhaan Allah s.w.t. Dengan itu juga, gunakanlah masa dan usia dengan mendekati Al-Quran kerana ia adalah pengubat, pemyembuh, rahmat dan sumber kekuatan bagi orang-orang mukmin.

Al-Quran adalah panduan yang di anugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hamba-hambanya. Janganlah kita renggang dengan Al-Quran dan memberikan peruntukkan masa yang banyak bersama alat-alat atau media yang akan membinasakan kehidupan agamanya. Marilah kita membantu diri kita sendiri dalam menjayakan kehidupan yang diredhai oleh Allah s.w.t dan marilah kita bersam-sama menghapuskan rancangan-rancangan musuh yang mahu merosakkan akidah lebih-lebih lagi hati, minda, dan pemikiran pemuda sekarang.

Selasa, 28 Disember 2010

Siapakah Sahabat Sebenar Mu?

Sahabat adalah teman yang lazimnya diingati sebagai teman yang selalu bersama kita walaupun dalam susah dan senang. Adakah ini dipanggil sahabat sejati setelah bersama menghadapi pelbagai masalah dan rintangan serta dugaan? Di sini saya ingin berkongsi bersama sebuah cerita tentang pengertiaan sahabat yang sebenar. Cerita ini mungkin anda semua sudah terbaca dalam mana-mana buka atau aktikel. Cerita ini bukanlah untuk memperlekehkan sebuah ikatan persahabatan dan memburukan nilai-nilai murni dalam bersahabat, tetapi hanya sekadar menjadi pengajaran pada diri ini dan juga tidak lupa kepada rakan-rakan yang lain.

Pada zaman Rasullullah.....
Ada dua orang sahabat baik yang bekerja sebagai pengembala kambing. Pada suatu hari, sahabatnya pertama bertanya kepada sahabatnya yang kedua;
"apakah benar engkau sahabatku yang sebenar-benar sahabat?"
maka sahabatnya menjawab;
"bukankah kita telah bersama semenjak masih kecil dan membesar bersama-sama? Aku tidak pernah mengkhianati dirimu, apa lagi yang mampu aku jadikan bukti aku sebenar-benar sahabatmu?"

Sahabat yang pertama tadi membentak:
"sesungguhnya kamulah manusia paling pendusta!"
sahabat kedua tadi kehairanan dan bertanya kepada sahabat pertama apakah kesalahannya sehingga sahabat itu melayanya seperti itu. Sahabat yang pertama tadi menjawab:
"pulanglah kau ke rumah, carilah jawapannya dan esok datanglah kau berjumpa aku.."

Seharian sahabat kedua tadi mencari punca dia dimarahi oleh sahabatnya, sedangkan sahabatnya itu tidak pernah berkelakuan seperti itu sebelum ini. Dan keesokkan harinya, pergilah dia bertemu dengan sahabatnya itu.
"wahai sahabat, puas sudah aku mencari jawapan untuk soalan mu, tapi sehingga sekarang belum aku temui" katanya sambil menangis....
"katakanlah wahai sahabat apa kesalahanku?"

Sahabat yang pertama merenung wajah sahabat kedua..lalu berkata;
"pernahkah kau mengingatkan aku supaya mengucapkan dua kalimah syahadah atau berselawat keatas junjungan ketika kita berehat dari lelah bekerja dan bersembang kosong?"
sahabatnya menggeleng.....
"pernahkah kau mengingatkan aku supaya segera solat dan kebaikan segera bersolat setiap kali azan dikumandangkan?"
sahabatnya menggeleng kepala....
"pernahkah kau menasihatkan aku supaya berpuasa setiap hari pada bulan ramadhan?"
sahabatnya menggeleng lagi....
"pernahkah kau mengingatkan aku mengenai tanggungjawab aku supaya berzakat?"

Sahabatnya menggeleng lagi sambil menangis, namun sahabatnya yang pertama meneruskan soalanya;
"dan soalan ku yang terakhir, pernahkah kau mengajak aku menunaikan haji setiap kali kita dikurniakan lebihan rezeki?"
sahabat kedua mendiamkan diri sambil menangis teresak-esak...
"tidak pernah bukan? maka tidak layaklah engkau bergelar sahabat padaku.....engkau tidak pernah membantu aku melarikan diri dari neraka jahanam, pergilah kau....mulai hari ini kita bukan lagi sahabat....

Begitulah berakhirnya sebuah cerita tentang dua sahabat tersebut. Banyak pengajaran yang boleh kita pelajari malah bukan itu sahaja, kita boleh memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam menjalin sebuah persahabatan. Pada moralnya, pernahkah kita melihat ke dalam diri kita sendiri? layakkah kita untuk bergelar seorang sahabat? dan pandanglah teman kita yang sering kehulu kehilir bersama, layakkah dia menjadi sahabat kita?. Renungkanlah ke dalam diri sendiri dengan mata hati, bukan dengan membuta tuli. Dengan itu, gunakan kesempatan yang ada ini perbaiki diri dan dengan izin Allah S.W.T sesuatu hari nanti kita layak untuk bergelas sahabat sejati dan hakiki.



Khamis, 16 Disember 2010

Hargailah Masa

Masa berlalu seperti awan terbang dan seperti hembusan angin, samaada masa kesenangan dan kegembiran, mahupun masa kesukaran dan kesedihan. Masa kegembiran terasa cepat dan pantas berbanding dengan masa kedukaan terasa amat lambat dan berat untuk ia berlalu. Tetapi itu semua mengikut perasaan seseorang sahaja, sedangkan pada hakikatnya bukan demikian.

"Apabila sampai usia itu adalah kematian, maka umur yang pendek dan yang panjang adalah sama"

Betapa panjangnya usia di dunia ini, sebenarnya adalah pendek dan singkat. Kematian adalah sesuatu tempat perhentian semua makhluk yang hidup di muka bumi ini. Di saat datangnya ajal seseorang, bagaikan mengecut dengan pantasnya tahun-tahun dan dekad yang dirasakannya semacam disambar kilat. Inilah hakikat yang sebenar apabila temui kematian, betapa usia akan terasa sangat singkat di saat perpisahan roh dan jasad.


Demikian juga dengan tibanya hari kiamat, akan terbayang bagi seseorang betapa pendek dan singkatnya usia yang telah ditempuhi semasa didunia. Dalam hal ini, Allah s.w.t menegaskan:-

"Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar saja ) di waktu ptg atau pagi hari" ( an- Nazi'at: 46 )

Masa yang berlalu tidak akan kembali dan tidak dapat ditukar ganti. Percayalah setiap yang berlalu, setiap jam telah pergi dan setiap saat yang telah hilang tidak akan dapat disusul dan dikejar. Malah ia juga tidak dapat ditukar ganti, walaupun digunakan pelbagai cara sekali pun. Dengan itu hargailah masa yang ada sekarang dengan mengikut jalan yang diredhai oleh-Nya. Dan percayalah kematian itu pasti akan datang, jadi berusaha dan memanfaatkan masa yang singkat ini. Janganlah kita mengsia-siakan masa yang kita miliki sekarang.





Selasa, 14 Disember 2010

Jangan Takabbur

Takabbur terjadi apabila terasa diri "lebih" dan orang lain "kurang". Berasa diri mulia dan menganggap diri orang lain hina. Inilah menyebabkan takabbur menyerang individu yang mempunyai potensi tersebut. Mengikut riwayat Muslim: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud "...sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk". Ini memberi maksud yang jelas dan padat bahawa takabbur itu ialah ibu segala sifat mazmumah. Ianya lahir daripada sombong serta terus berjangkit kepada sifat marah, husud, ujub, sum'ah, tamak, bakhil dan sebagainya.

Takabbur ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Ianya kali pertama berlaku apabila keengganan iblis dalam mematuhi perintah Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Iblis yang merasakan dirinya lebih baik, tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam yang hanya diciptakan daripada tanah sedangkan iblis dijadikan dengan api. Dan sifat inilah akhirnya turut menular menjangkiti manusia. Contohnya anak Nabi Adan a.s, Qabil juga merasakan dirinya lebih baik dan berhak mengahwini saudara perempuanya yang lebih cantik berbanding adiknya Habil. Seterusnya terjadinya pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan pun berlaku.






Menerusi sifat takabbur yang diwarisinya iblis meneruskan empayarnya serta menjadi mentor kepada protegenya yang terdiri daripada syaitan dan manusia sepanjang zaman. Dengan itulah lahirnya Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Abu Lahad, Abu Jabal, Kamal Ataturk dan ramai lagi. Golongan inilah yang banyak menentang kebenaran agama Allah s.w.t yang dibawa oleh para Rasul, Ulama Al-Amilin dan Mujahid-mujahid Islam. Daripada hembusan takabbur itulah juga lahirnya Zionis Yahudi yang merasakan mereka adalah "God's Choosen People'-insan pilihan tuhan untuk memerintah, menguasai dan memperkotak-katikan bangsa-bangsa lain yang mereka anggap lebih hina.

Mengikut penjelasan para ulama, ada tiga ciri utama individu yang takabbur, iaitu merasa diri lebih baik daripada orang lain, menghina dan menolak kebenaran sesuatu perkara yang benar. Kesemua ketiga-tiga perkara tersebut menyerang manusia dalam bentuk pakej. Ianya datang secara serentak dan berkait antara satu sama lain. Apabila seseorang merasakan dirinya lebih baik, mulia dan tinggi akan lebih cenderung memandang orang lain buruk, hina dan rendah. Ini menyebabkan seseorng itu akan menjadi terlalu obses terhadap dirinya sendiri dan mereka akan menolak apa saja pandangan, saranan dan teguran daripada orang lain walaupun sesuatu perkara itu benar.


Secara ringkasnya, kita hendaklah dapat membezakan antara takabbur yang keji dengan harga diri yang terpuji. Seseorang yang mempunyai harga diri memandang dirinya tinggi kerana islam dan bukan atas sebab-sebab kehebatan diri sendiri. Orang yang mempunyai harga diri tinggi sangat menghargai orang lain dan melihat dunia sebagai medan perkongsian untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.


"Jangan kamu merasa hina dan jangan kamu berasa gentar. 
Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman".
( Surah Ali 'Imran 3:139 )

Hasil pertembungan antara harga diri dan takabbur inilah yang berlaku sepanjang sejarah perjuangan mendaulatkan islam. Yang berjuang menegakkan islam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana keimanannya manakala yang menentangnya juga disebabkan keyakinan kerana ketakabburanya. Inilah yang menjadi garis pemisah yang sangat besar antara kedua-dua sifat itu walaupun impaknya kepada diri seolah-olah hampir sama.

Sabtu, 4 Disember 2010

Blog Oh Blog......

Blog sudah tercipta, ingatkan bila dah ada blog ini boleh berkarya, tapi sampai sekarang masih belum ada aktikel yang dihasilkan. Masa tiada blog dulu, banyak saja idea-idea yang singgah dalam minda ini. Hmm....itulah masa bercurah-curah datangnya idea, tak pula terfikir nak mencatat isi-isinya. Sekarang ini mulalah tergaru-garu kepala, memikirkan apa yang perlu ditulis dalam mencapai aktikel yang mantap dan mudah difahami






Segala drafnya sudah ada termasuk dengan tajuk-tajuknya sekali, tapi malangnya ianya belum cukup sempurna kerana isi kandungan masih belum memuaskan. Dan banyak lagi yang perlu ditambah dalam menguatkan lagi hujah-hujah sesebuah aktikel. Susah juga untuk menghasilkan sesuatu aktikel yang bagus. Ianya memerlukan fakta-fakta yang mantap serta dapat memberi kesan kepada pembaca, barulah sesebuah artikel itu berkesan dalam menyampai sesuatu matlamat dan mesej-mesej yang ingin disampai oleh penulisnya.

Waktu sekolah dahulu, taklah susah sangat untuk menghasilkan sebuah karangan atau artikel, tak perlu banyak sangat berfikir untuk mendapatkan idea atau ilham. Sekarang ini terasa amat susah sekali untuk memikirkanya, ini mungkin juga sudah lama tak menggunakan minda ini sejauh itu, maksudnya mungkin dah berkarat kot. Dan ini mungkin salah satu cabaran yang perlu dihadapi bagi menghasilkan sesuatu yang bermakna.

"itulah orang berblogger, awak berblogger juga" itulah ayat yang sedang bermain-main dalam fikiran sekarang. Hmm...macam mana hendak menghasilkan sebuah aktikel yang bagus kalau tiada isi atau fakta-fakta yang cukup mantap dalam membantu menguatkan lagi sesuatu aktikel. Sudah puas dah membelek-belek blog lain tapi masih lagi buntu dalam menghasilkan sesuatu yang bermakna.

Walau bagaimana susah pun, dalam pencarian maklumat bagi menghasilkan sebuah catatan yang bermakna, Insya-Allah blog ini tidak akan terkubur begitu sahaja. Malah semangat dalam meneruskan penulisan ini masih bersemangat dan harap semangat ini terus ada dalam diri ini.


Bukan itu sahaja, dugaan dan cabaran yang datang tetap diharungi dengan redha serta sabar. Lagi pun blog ini masih baru lagi, dan diharapkan sahabat dan teman seperjuangan sokongan kalian amat dihargai, Tanpa sokongan dan semangat kalian mungkin juga blog 'seindah pelangi' masih belum tercipta.

Isnin, 29 November 2010

Salam Ukhuwah


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih,

Segala puji dan sanjungan itu milik Allah. Selawat dan salam buat junjungan besar penghulu kami Nabi Muhammad SAW, jua kepada keluarganya serta sekelian sahabat baginda.


Segala pengalaman dan kenangan hidup yang indah serta perit merupakan asam garam dalam kehidupan. Malah ianya juga menambahkan lagi kematangan dalam menjalani kehidupan seharian.


Dengan itu berusahlah kita mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Tercipta blog ini bukanlah untuk mengaibkan seseorang atau sebahagian masyarakat, tetapi hanya sekadar ingin berkongsi sesuatu yang mungkin bermakna dalam diri ini. Malah adanya sokongan dari seorang sahabat, menguatkan lagi semangat untuk menerbitkan blog ini.

Kerana itu terciptalah Seindah Pelangi.....

Sekian.