Pages

Selasa, 14 Disember 2010

Jangan Takabbur

Takabbur terjadi apabila terasa diri "lebih" dan orang lain "kurang". Berasa diri mulia dan menganggap diri orang lain hina. Inilah menyebabkan takabbur menyerang individu yang mempunyai potensi tersebut. Mengikut riwayat Muslim: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud "...sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk". Ini memberi maksud yang jelas dan padat bahawa takabbur itu ialah ibu segala sifat mazmumah. Ianya lahir daripada sombong serta terus berjangkit kepada sifat marah, husud, ujub, sum'ah, tamak, bakhil dan sebagainya.

Takabbur ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Ianya kali pertama berlaku apabila keengganan iblis dalam mematuhi perintah Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Iblis yang merasakan dirinya lebih baik, tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam yang hanya diciptakan daripada tanah sedangkan iblis dijadikan dengan api. Dan sifat inilah akhirnya turut menular menjangkiti manusia. Contohnya anak Nabi Adan a.s, Qabil juga merasakan dirinya lebih baik dan berhak mengahwini saudara perempuanya yang lebih cantik berbanding adiknya Habil. Seterusnya terjadinya pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan pun berlaku.






Menerusi sifat takabbur yang diwarisinya iblis meneruskan empayarnya serta menjadi mentor kepada protegenya yang terdiri daripada syaitan dan manusia sepanjang zaman. Dengan itulah lahirnya Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Abu Lahad, Abu Jabal, Kamal Ataturk dan ramai lagi. Golongan inilah yang banyak menentang kebenaran agama Allah s.w.t yang dibawa oleh para Rasul, Ulama Al-Amilin dan Mujahid-mujahid Islam. Daripada hembusan takabbur itulah juga lahirnya Zionis Yahudi yang merasakan mereka adalah "God's Choosen People'-insan pilihan tuhan untuk memerintah, menguasai dan memperkotak-katikan bangsa-bangsa lain yang mereka anggap lebih hina.

Mengikut penjelasan para ulama, ada tiga ciri utama individu yang takabbur, iaitu merasa diri lebih baik daripada orang lain, menghina dan menolak kebenaran sesuatu perkara yang benar. Kesemua ketiga-tiga perkara tersebut menyerang manusia dalam bentuk pakej. Ianya datang secara serentak dan berkait antara satu sama lain. Apabila seseorang merasakan dirinya lebih baik, mulia dan tinggi akan lebih cenderung memandang orang lain buruk, hina dan rendah. Ini menyebabkan seseorng itu akan menjadi terlalu obses terhadap dirinya sendiri dan mereka akan menolak apa saja pandangan, saranan dan teguran daripada orang lain walaupun sesuatu perkara itu benar.


Secara ringkasnya, kita hendaklah dapat membezakan antara takabbur yang keji dengan harga diri yang terpuji. Seseorang yang mempunyai harga diri memandang dirinya tinggi kerana islam dan bukan atas sebab-sebab kehebatan diri sendiri. Orang yang mempunyai harga diri tinggi sangat menghargai orang lain dan melihat dunia sebagai medan perkongsian untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan.


"Jangan kamu merasa hina dan jangan kamu berasa gentar. 
Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman".
( Surah Ali 'Imran 3:139 )

Hasil pertembungan antara harga diri dan takabbur inilah yang berlaku sepanjang sejarah perjuangan mendaulatkan islam. Yang berjuang menegakkan islam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana keimanannya manakala yang menentangnya juga disebabkan keyakinan kerana ketakabburanya. Inilah yang menjadi garis pemisah yang sangat besar antara kedua-dua sifat itu walaupun impaknya kepada diri seolah-olah hampir sama.

0 ulasan:

Catat Ulasan