Pertunangan adalah istilah yang digunakan dalam masyarakat yang membawa makna bahawa seseorang telah terikat janji dengan orang lain dengan maksud untuk menikah nantinya.
Ianya beza dengan budaya barat yang hanya bertunang tanpa ada kepastian untuk menikah dan tanpa ada kesepakatan apa-apa pun. Sepanjang pertunangan, mereka bebas dalam perhubungan termasuklah melakukan hubungan seksual. Hal tersebut tidak lagi mengejutkan masyarakat zaman sekarang.
Sebelum pertunangan dipersetujui, pemilihan isteri atau suami mesti dijalankan. Setelah mengambil kira dasar-dasar pemilihan isteri atau suami, maka pihak lelaki bolehlah mengutus wakil untuk melamar atau lebih dikenali sebagai masuk meminang calon isteri.
Calon isteri mestilah yang bukan isteri orang, tunang orang atau perempuan dalam eddah. Bukan itu sahaja, sebelum menerima lamaran tersebut, ibubapa haruslah mendapatkan persetujuan anak perempuannya terlebih dahulu. Ini perlu dilakukan untuk memberikan peluang kepada si anak meluahkan isi hatinya yang ikhlas agar perkahwinan yang bakal dilangsungkan nanti akan menambahkan kerukuanan dan kebahagiaan hingga ke anak cucu, bukan atas dasar paksaan ibubapa semata-mata.
Adalah tidak wajar jika ada paksaan dilakukan oleh wali terhadap anak perempuannya untuk menerima lamaran seseorang yang semata-mata disukai atas dasar kemewahan, bukan atas dasar ketaatan beragama.
Setelah selesai acara peminangan, kebiasaannya dengan tersarungnya cincin pertunangan di jari manis orang yang dipinang, persetujuan oleh kedua belah pihak untuk melangsungkan perkahwinan pada suatu tarikh yang akan ditetapkan.Tetapi tidaklah wajib untuk memberi cincin sebagai tanda pertunangan kepada calon isteri , hanya cukup sekadar calon isteri bersetuju untuk menikah dengan calon lelaki yang dipilihnya.Tempoh sebelum diijabkabulkan ini dinamakan waktu pertunangan.
Inilah tempoh cubaan yang paling mencabar kepada bakal pasangan suami isteri ini. Islam mengharamkan mereka berdua-duaan ke sana ke mari kerana pertunangan bukanlah tiket untuk melakukan perkara-perkara yang dihalalkan dalam perhubungan suami isteri.
Sesuai dengan hadis Rasulullah S.A.W. riwayat Ahmad dan Abu Daud r.a :
"Tidak dibolehkan sesiapapun di antara kamu berdua-duaan dengan perempuan melainkan ada bersama-sama mahramnya (bapa atau keluarga yang diharamkan berkahwin dengannya)